[VIDEO] PRK KKB: UMNO gerak jentera dari empat negeri bantu kempen

PONTIAN - Empat negeri yang diterajui UMNO akan menggerakkan jentera bahagian dari seluruh negeri bagi membantu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jentera bahagian dari Melaka, Johor, Pahang dan Perak akan digerakkan segera.

Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat menjelaskan, penghantaran jentera dari empat negeri itu membuktikan komitmen penuh untuk membantu calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

**media[2637484]**

"Empat negeri ini akan ke UMNO Bahagian Hulu Selangor dalam sehari dua lagi untuk menentukan kawasan pusat daerah mengundi (PDM) yang akan dijaga.

"Setiap negeri akan menjaga dua PDM.

"Kita harapkan tidak terlalu ramai atau terlalu sikit.

"Kemungkinan jumlah diperlukan seramai 10 orang bagi satu PDM.

"Berbaki seminggu sebelum PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

"Kita harap jentera dari negeri dapat bergerak pada hari ini atau esok," katanya selepas Majlis Konvokesyen Madrasah Pendita Madani di Benut di sini pada Sabtu.

**media[2637483]**

Ahli Parlimen Pontian itu menambah UMNO telah merangka strategi dengan melancarkkan bahagian angkat.

"Kita telah ada bahagian angkat di PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

"Terdapat 22 UMNO bahagian di Selangor termasuk bahagian Hulu Selangor.

"Daripada jumlah itu, kita pecahkan kepada lapan PDM yang UMNO perlu jaga.

"Terdapat lapan PDM Melayu yang UMNO jaga.

"Ini bermaksud dua UMNO bahagian atau tiga UMNO Bahagian yang jaga satu PDM," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor memberitahu sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 turut akan disambut UMNO Johor pada 11 Mei.

"Kita akan mengadakan bacaan yasin dan tahlil selepas solat Maghrib.

"Semua negeri hendaklah mengatur program di negeri masing- masing kecuali Selangor mereka akan mengaturkan program di Kuala Kubu Baharu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!